PEMBUKA BICARA

Apa yang tertulis di laman blog ini datang daripada lubuk hati saya yang paling dalam dengan niat yang ikhlas. Untuk yang sudi mengikuti blog ini, terima kasih saya ucapkan dan untuk yang terguris hatinya dengan pengisian blog ini, salam kemaafan yang saya pinta. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang kurang baik itu datangnya daripada diri saya sendiri. ~AYU AMRON~

Rabu, 1 Jun 2011

LINGKARAN DOSA SEMALAM-BAB 2-


Cahaya bulan pada malam ini terang sekali. Di dada langit, bulan mengambang penuh. Indah sekali ciptaan yang maha kuasa. Pak Din sedang leka menganyam daun-daun mengkuang untuk dijadikan tikar. Apabila sudah siap nanti bolehlah juga dijual di Pasar Kraf di pekan. Duit hasil daripada jualannya nanti boleh juga digunakan untuk perbelanjaan harian keluarganya.
            Sedang dia asyik menganyam daun-daun mengkuang itu, anak sulungnya menuju ke arahnya sambil menatang dulang. Sopan gayanya. Berdecit pun tidak langkahnya.
            “Minum abah,” ujar Murni sebaik sahaja meletakkan dulang di atas lantai. Murni turut duduk bersimpuh di sisi ayahnya sambil membelek-belek hasil kerja tangan ayahnya yang halus.
            “Murni tak minum sekali?” Soal Pak Din kepada anak gadisnya yang berusia awal 20-an itu.
            “Tak apalah abah. Murni dah minum di dapur tadi,” Balasnya lembut. Sebenarnya Murni ingin menyuarakan hasrat hatinya kepada Pak Din namun terasa seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia takut kalau-kalau ayahnya itu tidak bersetuju dengan keputusannya.
            Pak Din seperti dapat membaca riak kegelisahan yang terpancar di wajah bujur sirih anaknya itu. Lantas dia bersuara, “Murni ada apa-apa ke yang nak cakap dengan abah?”
            Murni tersentak. Sungguh dia tidak menyangka ayahnya itu dapat mengesan keresahan yang bermukin di dasar hatinya. Benarlah kata orang tua-tua, kalau yang namanya orang tua sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.
            “Abah, kalau Murni cakap abah jangan marah ya,” pintanya lembut.
            “Murni belum cakap manalah abah tahu nak marah atau tak,”
            “Abah janjilah dulu yang abah takkan marah dengan apa yang Murni nak cakap ni,” pinta Murni bersungguh-sungguh.
            “Cakaplah. Apa dia?”
            “Betul abah tak marah?” Soalnya lagi inginkan kepastian.
            “Erm….”
            “Minggu lepas Murni ada berjumpa dengan Haiza,”
            “Haiza?” Soal Pak Din inginkan kepastian.
            “Haiza anak Tuk Penghulu yang kerja di KL tu. Dia ajak Murni kerja sama-sama dengan dia di sana. Katanya dekat tempat kerja dia ada kerja kosong. Dia boleh tolong dapatkan kerja tu untuk Murni. Boleh Murni pergi bah?” Jelas Murni dengan panjang lebar. Dia berharap benar yang ayahnya akan membenarkannya mencari rezeki di Kuala Lumpur.
            Suasana hening seketika. Pak Din tidak memberikan kata putus atas permintaan anak gadisnya itu. Mengiakannya tidak, menidakkannya pun tidak. Dia bingung. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya ketika ini.
            “Abah…..” Gemersik suara Murni memecah kesunyian yang merantai malam.
            “Mak tahu?” Duganya.
            Hanya anggukan kecil sahaja yang membalas soalannya.
            “Pergilah tapi pandai-pandai jaga diri di tempat orang. Bila nak pergi? Tinggal di mana nanti?” Akhirnya Pak Din memberi keputusan.
            “Lusa. Murni tinggal di rumah Haiza nanti,” jawab Murni. Jelas nada suaranya ceria. “Terima kasih abah,” sambungnya lagi.
            Murni bingkas bangun, menyalami tangan tua ayahnya. Dikucup lembut tangan tua itu. Tangan yang telah banyak menabur jasa dan bakti untuk membesarkannya selama ini. Terasa seperti ada titisan mutiara jernih yang jatuh di ubun-ubun kepalanya.
            Tekad Murni cuma satu. Tiada yang lain hanya untuk mencari rezeki yang halal demi mengubah nasib keluarganya. Itu janjinya. Itu juga sumpahnya.
           
           

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas informasi menarik