Kita sering kali disajikan dengan kisah kesetiaan wanita yang bergelar isteri namun kali ini, MENCARI KASIH KEKASIH bakal merungkai konsep kesetian dari sudut yang berbeza. Apakah erti kesetian kepada seorang lelaki yang bergelar suami? Adakah kesetian seorang suami juga sama seperti kesetian seorang isteri? Mampukah golongan gagah ini berkorban segalanya seperti para isteri? Sanggupkah mereka merendahkan harga diri dan ego mereka demi mempertahankan kesetiaan mereka? Terlalu banyak persoalan yang menantikan jawapannya.
Eddy dan Zaharah, dua insan yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Eddy, pemuda Inggeris yang punya segalanya namun dia tumbuh membesar menjadi seorang lelaki yang tidak mengenal erti kekeluargaan. Zaharah pula seorang gadis kampung yang hidup serba kekurangan tetapi dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang cukup sempurna. Peluang melanjutkan pengajian di luar negara digunakannya sebaik mungkin. Tekadnya cuma satu iaitu mahu menarik keluarganya keluar dari kancah kemiskinan hidup. Pertemuan di antara mereka yang bermula sebagai kenalan biasa akhirnya mewujudkan bunga-bunga cinta. Mereka nekad untuk menghalalkan hubungan yang ada walaupun pada mulanya ditentang oleh keluarga Zaharah.
Disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Mahligai indah yang baru didirikan dihempas badai lautan bergelora. Rupanya dalam diam ada mata yang memandang iri terhadap pasangan muda ini. Satu demi satu musibah melanda mereka dan akhirnya membawa kepada suatu tragedi ngeri yang menyebabkan Eddy terlantar koma hampir dua tahun dan Zaharah hilang tanpa meninggalkan jejak. Keajaiban muncul apabila Eddy tersedar daripada komanya. Harapannya kini cuma satu iaitu untuk bersama semula dengan isteri tercinta namun harapannya hancur berkecai apabila mentuanya menyatakan bahawa Zaharah sudah hilang tanpa jejak dan sudah diisytiharkan meninggal dunia.
Namun, naluri Eddy sebagai seorang suami kuat mengatakan yang Zaharah masih hidup. Padanya selagi tiada pusara selagi itulah isterinya masih hidup. 8 tahun Eddy hidup dalam pengharapan dan pencarian. Secantik manapun gadis yang datang kepadanya, sekuat manapun godaan mereka, Eddy masih teguh mempertahankan kesetiannya terhadap isteri tercinta. Tetapi semuanya berubah apabila Shahira, seorang wanita seksi berstatus ibu tunggal muncul dalam hidupnya. Hadirnya Shahira membawa sinar baru dalam hidup Eddy, apatah lagi dengan kehadiran Danish Irfan si cilik yang petah berkata-kata. Dalam setiap renungan mata Shahira, Eddy dapat melihat bayangan Zaharah. Dalam setiap bait bicaranya, Eddy dapat merasakan kehadiran Zaharah dan bila mendengar suaranya umpama Eddy mendengar suara Zaharah.
Siapakah Shahira yang sebenarnya? Adakah Eddy akan terus mempertahankan kesetiannya kepada Zaharah? Atau Eddy bakal terkulai layu dalam pelukan Shahira? Sama-samalah kita mencari jawapannya dalam MENCARI KASIH KEKASIH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan