PEMBUKA BICARA

Apa yang tertulis di laman blog ini datang daripada lubuk hati saya yang paling dalam dengan niat yang ikhlas. Untuk yang sudi mengikuti blog ini, terima kasih saya ucapkan dan untuk yang terguris hatinya dengan pengisian blog ini, salam kemaafan yang saya pinta. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang kurang baik itu datangnya daripada diri saya sendiri. ~AYU AMRON~

Rabu, 13 April 2011

MENCARI KASIH KEKASIH- BAB 4-

“Asalammualaikum! Asalammualaikum!”
            “Waalaikumussalam.” Jawab Pak Josuh dan Mak Leha hampir serentak.
            “Pergi tengok Leha, siapa yang ada di bawah tu.” Ujar Pak Josuh kepada Mak Leha sambil mengurut dadanya perlahan-lahan.
            “Yelah bang.” Balas Mak Leha lalu bingkas bangun dari duduknya menuju ke pintu. Kepalanya  dijenggukkan sedikit keluar untuk melihat siapakah gerangan empunya suara yang memberi salam. “Eh, Tok Sidang. Kak Maimun pun ada. Jemput naik Tok, Kak Maimun.” Mak Leha mempelawa tetamu-tetamu yang berkunjung itu naik.
            “Josuh mana? Aku terserempak dengan anak kamu, si Zahid kat pekan tadi. Dia kata laki kamu sakit. Itu yang aku datang dengan Kak Maimun kamu ni. Niat kami nak ziarah.” Terang Tok Sidang.
            “Abang Josuh ada kat dalam bilik tu. Kalau Tok nak jumpa dia, saya bawa dia keluar.”
            “Eh, tak payah bawa dia keluar. Dia tukan sakit. Biar dia berehat kat dalam tu. Biar kami je yang masuk, ziarah dia.” Tegah Tok Sidang.
            “Kalau macam tu, silakanlah Tok, Kak Maimun.” Pelawa Mak Leha sambil menyelak langsir pintu biliknya.
            “Asalammulaikum Josuh.” Ujar Tok Sidang sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
            “Waalaikumussalam, Tok.” Jawab Pak Josuh sambil menyambut huluran tangan itu.
            “Macam mana keadaan kamu sekarang? Ada baik sikit?” Soal Tok Sidang.
            “Alhamdulilah Tok. Dah ada baik sikit.” Jawab Pak Josuh sambil cuba untuk bangun dari pembaringannya.
            “Eh, tak payah bangun Josuh.” Tegah Maimun. “Kamu tu sakit, baring jelah.”
            “Betul kata Kak Maimun kamu tu. Baring jelah.” Sampuk Tok Sidang pula. “Macam mana kamu boleh jatuh sakit ni? Semalam aku jumpa kamu di kebun, elok aje kamu tu aku tengok.” Tambah Tok Sidang lagi.
            “Entahlah Tok, dah tua-tua ni dapat berita mengejut sikit mulalah bermacam-macam penyakit yang datang menyinggah.”
            “Berita mengejut apa?” Soal Maimun.
            “Hisy, awak ni Maimun. Sibuk aje nak tahu hal rumahtangga orang.” Tegur Tok sidang kepada isterinya.
            “Bukan macam tulah bang, saya ni tanya sebab ambil berat. Kitakan duduk sekampung, kenalah juga ambil tahu apa yang telah terjadi.” Ujar Maimun membidas teguran suaminya.
            “Pasal telegram yang Zara hantar tu ke Josuh?” Soal Tok Sidang. Pak Josuh dan Mak Leha, sama-sama melepaskan keluhan berat. “Macam berat je masalahnya. Apa yang Zara tulis?” Soal Tok Sidang lagi.
            “Dia nak kahwin.” Ringkas sahaja jawapan yang keluar dari mulut Pak Josuh.
            “Kahwin?” Soal Maimun terkejut.
            “Ya Kak Maimun.” Sela Mak Leha pula.
            “Zara tu belum habis belajar lagikan?” Soal Maimun lagi.
            “Belum lagi kak. Ada baki setahun lagi.”
            “Dia nak kahwin dengan siapa Josuh?”
            “Pemuda Inggeris. Eddy Saifuldeen namanya. Itulah yang merisaukan hati saya ni Tok. Sebelum dia pergi sana dulu, awal-awal lagi saya dah pesan. Pergi sana belajar, cari ilmu bukannya cari jodoh.” Luah Pak Josuh sambil menghela nafasnya dalam-dalam. Ada nada kesal yang bergayut di hujung bicaranya.
            “Dah jodoh dia Josuh. Kita nak buat macam mana lagi?”
            “Jodoh tu jodoh juga Tok. Saya terima kalau jodoh Zara tu dah sampai. Tapi kalau boleh, biarlah dengan orang kita. Si Zara ni nak kahwin dengan bangsa asing, orang putih pulak tu. Itu yang buat saya tak boleh terima ni Tok.”
            “Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni Josuh.”
            “Hikmah apanya Tok. Saya takut kalau Zara tu kahwin, ikut suaminya balik ke sana terus dan tak balik-balik lagi ke sini. Saya bukannya apa Tok, Zara tulah satu-satunya anak perempuan kami. Tak ada dua, tak ada tiganya Tok.”
            “InsyaAllah Josuh, Aku yakin Zara takkan buat macam tu. Dia tu budak baik. Dia takkan lupa asal keturunannya di sini walaupun dia berkahwin dengan bangsa asing.”
            “Betul tu Josuh, Leha. Akak yakin Zara takkan buat macam tu.” Sampuk Maimun.
            “Entahlah kak, berat hati saya dengan abang Josuh ni nak benarkan Zara berkahwin dengan bangsa asing apatah lagi budak lelaki tu kami tak kenal.” Celah Mak Leha.
            “Betul tu Tok. Yang berkahwin dengan orang kita sendiri pun dah ramai yang tak ingatkan mak ayah, keluarga, kampung halaman. Inikan pula bila dah kahwin dengan bangsa asing, Entah apa pula jadinya nanti.” Pak Josuh meluahkan kebimbangan yang bermukim di dadanya.
            “Macam nilah Josuh, Leha. Aku ni Cuma nak bagi pandangan. Kalau kamu nak ikut atau tak, itu terserahlah pada diri kamu. Kamu berdua mak ayahnya, kamu yang lebih berhak atas diri Zara.”
            “Pandangan apa tu, Tok?” Pintas Pak Josuh.
            “Bila Zara bawa balik budak tu ke sini nanti, kamu kenallah hati budinya dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru. Yelah, orang tua-tua ada cakap kalau kita tak kenal maka tak cinta. Kalau kamu berdua tak keberatan, aku dengan Imam Sani pun boleh tolong tengok-tengokkan budak tu. Imam Sani tukan orangnya berilmu, reti pulak nak tengok-tengok orang. Kalau nanti dah kenal dah dinilai tapi kamu tetap tak berkenan, kamu cakaplah elok-elok dengan Zara. Jangan kamu bentak-bentak dia pula. Yelah, budak-budak zaman sekarang ni, kalau kita berkeras, takut nanti dia memberontak pulak.” Usul Tok Sidang.
            “Betul kata Tok tu, nanti jangan pulak diarang berdua tu buat adegan ku pinang-pinang tak dapat, ku pujuk-pujuk ku bawa lari. Masa tu nanti, nasi dah jadi bubur. Kamu menangis air mata darah sekalipun tak berguna lagi.” Tambah Maimun pula.
            “Betul kata Kak Maimun kamu ni. Kalau kamu rasa budak lelaki tu baik tapi kamu tetap tak berkenan sebab dia tu Mat Salleh, kamu buanglah perasaan tu demi kebaikan dan masa depan Zara.” Tokok Tok Sidang lagi.
            “Kebaikan dan masa depan Zara? Maksud tok?” Soal Pak Josuh, kurang mengerti dengan maksud percakapan Tok Sidang itu.
            “Zara tu duduk jauh, belajar kat sana. Kita ni kat sini, tak tahu apa yang mereka buat kat sana. Aku ni bukannya nak menuduh anak kamu tu buat perkara yang tak baik kat sana. Tapi aku rasa sebagai orang tua yang lebih dahulu lihat dunia, yang lebih dulu makan garam, kamu harus berfikiran rasional. Ada baiknya kamu halalkan aje hubungan budak berdua tu. Takut nanti kalau terjadi apa-apa di kemudian hari, kamu tu terpalit dosa sama.”
            “Betul tu Josuh. Akak ni bukannya apa tapi kalau Zara tu dah berlaki, tak adalah kamu tu risau sangat. Ada juga orang yang boleh menjaganya kat sana tu. Lagipun, si Zara tu anak perempuan. Setinggi mana pun dia belajar, sebesar mana pun pangkat yang dia ada, sebanyak mana pun gaji yang dia dapat tapi selagi dia tak berkahwin selagi itulah dia tetap tanggungjawab kamu. Lain pula ceritanya dengan anak lelaki. Kalau anak lelaki dah boleh berdikari sendiri, dia bukan lagi tanggungjawab kamu.”
            “Tapi saya tetap risau kak.” Keluh Pak Josuh lagi. Beban kerisauan yang bermukim di hatinya kini hanya Tuhan yang tahu.
            “Risau apanya lagi?” Soal Maimun.
            “Risau kalau-kalau tak sampai setahun bernikah, esok-esok kita dengar mereka dah bercerai je. Tahu-tahu jelah orang putih nikan. Mereka tukar pasangan macam tukar baju. Bila mereka nak mereka ambil, bila mereka dah bosan mereka lemparkan aje macam barang tak berharga. Saya tak nak orang buat kat anak saya macam tu.” Jawab Pak Josuh.
            “Isy kamu ni Josuh. Jangan yang difikirkan perkara yang buruk-buruk tu. InsyaAllah benda-benda macam tu takkan jadi kat Zara. Lagipun Josuh, jodoh, maut, ajal, pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Dia lebih mengetahui berbanding kita. Kita doakan aje budak-budak tu nanti. Lagipun kalau soal nak bercerai-berai ni tak payah tunggu kahwin dengan orang putih, kahwin dengan orang Melayu kita pun, budak tu boleh bercerai. Tu, cuba kau tengok anak si Hussein Goreng Pisang tu, sapa ke namanya budak tu?” Ujar Tok Sidang sambil mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil cuba mengingati nama anak perempuan Hussein. “Hah! Aku dah ingat. Si Balqis tu kahwin dengan orang Melayu. Pulak tu, suaminya tu bukan calang-calang orang. Belajar agama sampai ke Jordan. Sudahnya, kahwin baru tiga bulan tapi bercerai juga.” Sambung Tok Sidang lagi.
            “Betul tu Josuh, Leha.” Celah Maimun pula.
            “Eh, dah lama aku dengan Kak Mainun kamu ni di sini.” Ujar Tok Sidang sambil mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya. “Aku nak beransur dululah, dah nak senja dah pun. Aku ni cuma bagi pandangan, bagi nasihat. Apa-apa pun keputusanya tetap kat tangan kamu. Kamu fikirkanlah apa yang aku cakap ni betul-betul. Aku minta diri dulu.” Sambungnya lagi.
            “Yelah Tok, saya akan fikirkannya nanti. Terima kasih Tok sebab sudi ziarah saya.” Tok Sidang hanya membalas ucapannya itu dengan senyuman dan anggukan kecil.
            “Leha, awak tolong hantarkan Tok dengan Kak Maimun ke pintu.” Arah Josuh kepada isterinya.
            “Baiklah bang. Silakan Tok, Kak Maimun.”
            Hilang sudah kelibat Tok Sidang, Kak Maimun dan Mak Leha di balik pintu. Pak Josuh berfikir sejenak. Bila difikir-fikirkan semula ada benarnya kata-kata Tok Sidang dan Kak Maimun tadi. Entah mengapa hati tuanya masih bimbang dan ragu untuk membenarkan Zara bernikah dengan pemuda asing itu. Tetapi bila memikirkan masa depan Zara, dia tekad membuat keputusan. Semoga keputusannya itu tidak silap.
            Pesawat Boeing 737 milik Malaysian Airlines System (MAS) baru sahaja memasuki ruang udara Malaysia. Hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi, Zaharah akan menjejakkan kakinya semula ke bumi bertuahnya, Malaysia.
            Sudah tiga tahun dia meninggalkan tanah tempat tumpah darahnya dan itu bermakna sudah tiga tahun juga dia berpisah dengan keluarga tercinta demi mengejar ilmu di negara orang. Dia tersenyum puas. Beban rindu yang ditanggungnya sejak sekian lama bakal terlerai sebentar lagi. Wajah orang tuanya, wajah adik-adiknya serta panorama kampung halamannya seolah-olah mengamitnya untuk segera pulang. Bagaikan terbayang-bayang di ruangan matanya bagaimana keluarganya akan menyambutnya pulang dengan penuh kegembiraan dan bagaimana kalut emaknya menyediakan juadah kegemarannya. Zaharah yakin, pasti akan ada kerabu mangga dan sambal tumis petai yang menunggunya di rumah saat ini. Tanpa sedar Zaharah tersenyum sendiri dan tanpa dia sedar juga ada sepasang mata biru yang asyik memerhatikannya dari tadi.
            “Zara, I cemburulah.” Ujar Eddy tiba-tiba. Zaharah binggung apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Eddy itu. Cemburu? Eddy cemburu dengan siapa? Zaharah memandang tepat ke wajah Edy sambil mengerutkan dahinya tanda dia tidak mengerti maksud kata-kata Eddy sebentar tadi.
            “Cemburu? Cemburu dengan siapa?” Soal Zaharah kepada Eddy. Kerutan di dahinya tetap tidak menghilang.
            “Tak payahlah you kerutkan dahi sampai macam tu sekali.”
            “Habis tu, tetiba je you kata you cemburu. I pun peliklah, you cemburu dengan siapa?” Luah Zaharah.
            “Dengan awan.” Jawab Eddy ringkas.
            “Awan?” Soal Zaharah kembali. Dia berasa bertambah aneh dan pelik dengan jawapan Eddy itu. Awan? Siapa Awan? Kenapa perlu cemburu dengan Awan? Berbagai-bagai soalan yang menerjah benaknya kini. Seingatnya, dia tidak pernah mengenali sesiapa pun dengan nama Awan.
            “Ya, awan.”
            “Siapa Awan?” Akhirnya, Zaharah melontarkan juga soalan itu kepada Eddy.
            “Tu.” Balas Eddy sambil menundingkan jari telunjuknya ke arah luar tingkap pesawat. Zaharah turut sama berpaling untuk melihat apa yang ditunjukkan oleh Eddy. Usai melihatnya, Zaharah terdiam seketika. Dia binggung. Tidak dapat menangkap maksud percakapan Eddy.
Tiba-tiba, Zaharah membutangkan matanya. Sah!!! Dia sudah terkena dengan Eddy. Dia berpaling semula ke arah Eddy yang duduk di sisi kirinya. Eddy sedang mengukir senyuman kepadanya. Senyuman yang menjadi tanda bahawa Eddy telah berjaya mengenakannya. Tidak semena-mena Zaharah menghadiahkan satu cubitan ketam di paha Eddy.
            “Auchh!!!” Jerit Edy perlahan tetapi masih mampu menarik perhatian pasangan yang duduk bersebelahan dengan mereka. Pasangan itu hanya tersenyum melihat adegan yang terjadi di antara Eddy dan Zaharah. Eddy pula hanya mampu menyeringai kesakitan sambil mengosok pahanya yang menjadi mangsa cubitan Zaharah tadi.
            “Sakitlah.” Adu Eddy kepada Zaharah.
            “Padan muka you. Siapa suruh you kenakan I. Kan tak pasal-pasal you dapat habuannya.”
            “Sampai hati you cubit I. Belum kahwin lagi, you dah dera I.” Lirih sahaja suara Eddy cuba memancing simpati Zaharah.
            “Mana ada I kenakan you. I hanya nak bagi peringatan je tu. So, next time bila you nak kenakan I, you akan teringat cubitan I tu.” Balas Zaharah sambil menguntum senyum.
            “Mana ada I kenakan you? I just cakap I cenburukan awan.” Eddy tetap tidak mahu mengalah. “You je tu yang lambat bagi respon. Lambat pick up betullah you ni.” Tambah Eddy lagi.
            “Oh… so sekarang ni you nak cakap yang I ni lambat pick up lah ni.” Balas Zaharah geram. Satu lagi cubitan singgah di badan Eddy. Kali ini pinggangnya pula yamg menjadi sasaran Zaharah.
            Eddy terjerit kecil. “Auchh!!!”
            Pasangan yang duduk di sebelah Eddy dan Zaharah kembali melihat mereka. Masing-masing melempar senyum. Mungkin mereka faham tingkah anak muda zaman sekarang.
            “Dah lah tu Zara. Tak payahlah cubit I lagi. Uncle dengan aunty tu dah pandang kita semacam je. Siap senyum-senyum lagi. Malulah I.” Bisik Eddy perlahan di cuping telinga Zaharah.
            “Aik? Sejak bila you pandai malu ni.” Soal Zaharah. “Selalu tu you main redah je. Oh… I tahu, ni mesti sejak you berguru dengan Syeikh Aziz kan?” Tambah Zaharah lagi.
            “Sheikh Aziz kata, malu tu pakaian orang yang beriman.”
            “Sheik Aziz cakap apa lagi pada you?” Soal Zaharah, ingin mengetahui perkembangan terbaru Eddy bersama Sheikh Aziz. Zaharah tidak menyangka bahawa Eddy benar-benar bersungguh-sungguh apabila menyatakan hasratnya mahu mendalami ilmu agama dengan Sheikh Aziz. Sangkanya, Eddy hanya bergurau tetapi sejak beberapa bulan yang lalu hampir setiap hujung minggu Eddy akan bertemu dengan Sheikh Aziz.
            “He said a lot to me. Which part of it that you want to know?”
            “Tentang malu.”
            “Malu tu pakaian orang yang beriman.”
            “You already said about it earlier. What else?”
            “Sebagai orang yang beriman, kita harus mempunyai sifat malu. Malu tu ada banyak kategori. Malu dengan diri sendiri, malu dengan Allah S.W.T, malu dengan para malaikat dan malu sesama makhluk ciptaannya. Sebab itulah dalam islam, kita diwajibkan untuk menutup aurat hatta sewaktu mandi sekalipun kita disarankan untuk tetap berpakaian kerana malu dengan Allah S.W.T dan juga malu dengan dua malaikat yang sentiasa berada bersama kita di bahu kiri dan kanan. Tapi kata Sheikh Aziz, dalam islam, malu itu sendiri haruslah bertempat dan janganlah kita malu di tempat yang salah. Contohnya, macam bila kita tak tahu mengenai sesuatu perkara, kita haruslah bertanya. Janganlah pula kita malu untuk bertanya sebab nanti kalau malu nak bertanya nanti kita sesat jalan.” Jelas Eddy dengan panjang lebar.
            Zaharah kagum dengan pengetahuan Eddy tentang islam dan penghayatannya. Dia sendiri yang sejak azalinya lahir sebagai orang islam pun tidak begitu memahami islam di dalam kehidupan sehariannya. Apa yang dia tahu hanyalah mengerjakan ibadat-ibadat asas seperti berpuasa dan solat sahaja. Itu pun solatnya jarang yang sempurna lima kali sehari, ada sahaja yang ditebuknya.
            Tiba-tiba wajahnya diserbu rasa panas. Perasaan malu mula menguasai dirinya. Malunya pada Eddy bukan kepalang. Eddy yang masih lagi belajar untuk mengenal Islam sudah petah berbicara tentang akidah, tentang aurat dan juga telah beberapa kali menegur caranya berpakaian walaupun hanya sekadar dalam biasan kata-kata.
            Usai sahaja segala urusan imigresen dan dokumentasi di balai ketibaan, Zaharah melepaskan keluhan lega. Eddy menoleh sekilas ke wajah bujur sirih Zaharah yang sedang berjalan beriringan dengannya. “Why?”
            “Why what?” Soal Zaharah kembali.
            “Kenapa mengeluh? Kita kan sudah selamat sampai.”
            “Itu namanya keluhan lega. Lega sebab kita dah selamat sampai. Dah tiga tahun I tak balik sini, rindu… sangat.” Jawab Zaharah sambil memeluk erat lengan gagah Eddy. Eddy menolak lembut pautan tangan Zaharah di lengannya. Zaharah mengerutkan dahinya. Dia tidak mengerti dengan perubahan sikap Eddy sejak kebelakangan Eddy. Dulu Eddy mesra dengannya. Sangat mesra. Eddy sering mengucup dahinya, memeluk pinggangnya dan jalan berpimpinan tangan dengannya namun sejak kebelakangan ini, semua itu tiada lagi. Seolah-olah ada jarak yang memisahkan mereka sekarang. Zaharah menarik lengan Eddy. Langkah Eddy terkunci, mati di tempatnya.
            “Why?” Soal Eddy.
            “I think we need to talk.”
            “Talk? About what? Oh, you mesti risau tentang penerimaan family you nanti. InsyaAllah, niat kita baik, I yakin Allah akan permudahkan segala urusan kita nanti.” Ujar Eddy lalu kembali menolak troli di hadapannya.
            “I bukan nak cakap pasal tu tapi I nak cakap pasal you.” Demi mendengar sahaja ayat yang keluar daripada mulut Zaharah itu, serta-merta langkah Eddy terhenti. Dia berpaling ke arah Zaharah.
            “Tentang I? Kenapa dengan I?” Soal Eddy lembut. “I ada buat salah dengan you ke? Kalau ada, I minta maaf. I tak sedar pun I ada buat salah dengan you. I’m so sorry. Please forgive me.” Tambah Eddy lagi.
            “Tak. You tak ada buat salah apa-apa pun kat I. Cuma…” Zaharah terdiam sejenak. Haruskah dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya sejak kebelakangan ini atau itu semua hanyalah mainan perasaannya sahaja?
            “Cuma apa?”
            “You tahu tak, you dah banyak berubah?”
            “Berubah? Maksud you, berubah yang macam mana tu?” Soal Eddy lagi.
            “You dah tak macam selalu. You dah tak mesra dengan I macam dulu.” Luah Zaharah.
            “Mana ada. Itu semua hanya mainan perasaan you je. I rasa kita masih mesra lagi macam selalu. I ada berbual dengan you, bergurau dengan you, temankan you and macam-macam lagi.” Nafi Eddy.
            “Tak. Tetap tak sama macam dulu.” Tegas Zaharah. “I tak tahulah kalau you perasan atau tak yang you dah lama tak kucup dahi I, tak peluk I and tak pimpin tangan I lagi bila kita keluar sama-sama. You pun selalu tinggalkan I jalan sorang-sorang kat belakang sekarang. Lepas tu tadi, peluk lengan you pun tak boleh. You dah berubah.” Runggut Zaharah. Eddy tersenyum mendengar runggutan Zaharah itu. Ingatkan apa tadi.
            “I serius ni tau. Bukannya main-main. You boleh senyum lagi.” Bentak Zaharah.
            “Dulu, I bukan orang islam tapi sekarang I dah masuk islam. I ada belajar agama, I ada belajar hukum.”
            “So, apa kena semua tu dengan perubahan you?” Soal Zaharah tidak berpuas hati.
            “You sedar tak yang kita ni berlainan jantina dan I ni bukan muhrim you?” Soal Eddy cuba bermain psikologi dengan Zaharah. Zaharah hanya mengangguk kecil.
            “I bukan muhrim you sebab itu I kena jaga jarak dengan you. I tak nak timbul syak dan fitnah pada kita di kemudian hari nanti. You fahamkan maksud I?”  Jelas Eddy.
            Sekali lagi Zaharah terpempan dengan perjelasan Eddy. Sungguh dia tidak menyangka bahawa Eddy sangat menjaga tingkah lakunya sebagai seorang muslim sedangkan dia, diberi nikmat islam dan iman sejak lahir tetapi tidak menggunakannya sebaik mugkin. Terasa begitu kerdil dirinya berbanding Eddy di sisi Allah S.W.T.
            “Malu I dengan you Eddy.” Ujar Zaharah lirih.
            “Kenapa pula you nak malu dengan I.”
            “Sepatutnya I yang bimbing saudara baru macam you tapi I sendiri pun tak mampu nak bimbing diri I.”
            “Tak apalah Zara. Kita boleh sama-sama belajar dan saling membimbing antara satu sama lain. Bila kita balik nanti, apa kata you ikut I belajar dengan Sheikh Aziz?” Ujar Eddy memberi saranan. “Erm… I rasa tak elok kalau I stay dengan family you. Takut nanti timbul fitnah pula.”
            “You takut fitnah atau you tak sudi bertandang ke pondok usang keluarga I?” Duga Zaharah.
            “Zara, tak pernah terlintas langsung di fikiran I macam tu.” Sanggah Eddy.
            “I tahulah. I saja je nak uji you. I bawa you pergi rumah Tok Sidang. Dia tu ketua kampung I. I rasa buat sementara waktu ni you boleh stay kat rumah dia dulu.”
            “Eloklah kalau begitu. So, shall we?” Soal Eddy.
            Zaharah hanya menguntum senyum dan menganggukkan kepalanya.

Tiada ulasan: